Tuesday, September 29, 2009

Nilai Estetik (keindahan)


Estetika

Seni visual juga difahami sebagai sesuatu yang mempunyai nilai estetik. Menurut Herbert Read, seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik. Kesenangan estetik adalah kesenangan dan keceriaan kepada pihak yang menerima mesej. Menurut Syed Ahmad Jamal estetika berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek kegunaannya.


Pengkarya/Pelukis/Pandai Tukang

Setiap hasil seni visual atau produk seni ada agen yang mewujudkannya. Agen itu dikenali sebagai pengkarya, pelukis atau pandai tukang. Tanpa agen ini tiada produk seni.


Asas Seni Reka

Asas seni reka merangkumi aspek elemen dan prinsip rekaan dalam seni tampak. Asas-asas ini mendukung kewujudan produk seni visual itu. Aspek ini juga dikenali sebagai sebahagian daripada bentuk atau form dalam bahasa seni tampak. Produk seni seperti catan umpamanya perlu dihasilkan mengikut peraturan seni reka contohnya ada aturan ruang, imbangan, kontra dan sebagainya. Karya seni yang tidak menggunakan asas seni reka dianggap kurang bermutu. Hasil seni tradisi seperti ukiran juga mementingkan asas rekaanya sendiri.

Asas seni reka ada dua komponen utama iaitu ELEMEN/UNSUR dan PRINSIP. Elemen rekaan termasuklah garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan, dan warna. Prinsip rekaan pula meliputi harmoni, kepelbagaian, kontra, penegasan, imbangan, pergerakan/irama/rentak/pengulangan, kesatuan dan ekonomi. Elemen dan prinsip ini perlu diadun dengan baik oleh seseorang pelukis dalam menghasilkan sesebuah karya seni visual.

No comments:

Post a Comment